Sunday, February 28, 2010

Kalau kerajaan kreatif, tahi manusia pun boleh jadi tenaga



Walaupun kabinet petang tadi dilaporkan tidak membuat keputusan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik atau tidak,saya masih ingin menasihatkan kerajaan supaya tidak meningkatkan tarif elektrik kerana kenaikan tarif tersebut bakal membebankan rakyat kebanyakan.

Kerajaan tidak seharusnya berfikiran simplistik menaikan tarif elektri disebabkan kenaikan bahan bakar di peringkat antarabangsa.

“Walaupun kos bahan bakar sedunia (seperti) minyak, gas dan arang kian meningkat, kalau kerajaan (dan) TNB kreatif, mereka tak perlu menaikan tarif elektrik,”

Teroka tenaga hidro dan angin

Kretiviti dalam pengurusan sumber tenaga tersebut, termasuk meneroka sumber tenaga yang baru atau tenaga yang diperbaharui seperti tenaga hidro.

“Saya akui memang kerajaan telah pun menjana tenaga Hidro seperti di Bakun, Bakun dan dua tiga empangan yang lain, bagaimana dengan sungai yang begitu banyak di Malaysia.”

“Tak cukup kerajaan bina empangan di Sungai Balui (Sarawak) saja, bagaimana dengan sungai-sungai yang begitu banyak khususnya di Pantai Barat Semenanjung (Malaysia) kerana keperluan (pada) sumber tenaga lebih besar berbanding di (Kepulauan) Borneo.”

“Sekiranya kerajaan atau TNB sendiri kreatif, mereka akan membina janakuasa hidro kecil-kecilan atau tenaga angin untuk menampung keperluan sumber tenaga nasional,”

Dalam pada itu, saya ingin turut mengkritik cadangan kerajaan era Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad (dulu Datuk Seri) membina Empangan Bakun di Sarawak.

Dr. Mahathir sepatutnya membina empangan tersebut di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, kerana keperluan perindustrian yang menggunakan sumber tenaga terbanyak menumpu di garis geografi tersebut.

Ekoran itu, saya tidak menafikan bahawa pemilihan Bakun itu mungkin untuk mencipta bajet perbelanjaan yang lebih tinggi untuk kroni-kroni tertentu dalam parti pemerintah.

“Tidak termasuk kos pembinaan empangan bakun yang bernilai RM6 bilion, beberapa pihak mendapat manfaat bernilai lebih kurang RM2 bilion lagi dalam projek menanam kabel elektrik di dasar Laut Cina Selatan hingga ke Tanjong Sedili (Johor) supaya elektrik boleh dibekalkan ke Semenanjung,”

“Kenapa tidak dibina terus empangan Pantai Barat Semenanjung saja, sebab itu saya tak mahu menafikan kalau ada yang mendakwa pembinaan Empangan Bakun tersebut untuk mengkayakan kroni-kroni tertentu saja.”

anaga Hijau

Selain meneroka tenaga hidro, saya menasihatkan kerajaan supaya menggalakkan penggunakan tenaga solar sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Mengambil contoh negara Jerman, kerajaan mereka akan memberi insentif kepada rakyat yang menjana kuasa solar untuk keperluan harian.

“Maksimum kuasa yang boleh dijana (adalah) 6 megawatt sedangkan keperluan sumber tenaga harian kurang (dari) 1 megawatt...maka tenaga itu dijual semula kepada syarikat tenaga atau kerajaan yang memberi insentif.”

“Agak-agak rakyat di sana sanggup tak berbelanja lebih 20 ribu dolar suatu satu janakuasa solar yang mini, kalau pembayaran tersebut dilakukan secara ‘auto-sabsidi’ di mana lebih sumber kuasa solar yang dijana dikira sebagai bayaran balik.”

Di sampung itu, saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat yang menjana sumber kuasa memperkenal polisi-polisi sampingan supaya sesuai dengan budaya menggalakkan rakyat menggunakan tenaga dari kuasa solar.

“Mereka perkenal potongan harga 20 peratus hingga 35 peratus umpamanya pagi konsumer yang menggunakan sumber tenaga elektek anatar jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi umpamanya untuk mengurangkan penggunaan ‘tenaga secara mendadak’ khususnya pada waktu berkerja.”

“Tengah malam sampai pagi, sekeluarga yang di rumah betul-betul menggunakan alat elektronik seperti mesin basuh, seterika, pendingn hawa dan sebagainya secara maksima kerana harga lebih murah, maka secara tak langsung mengurangkan mereka menggunakan tenaga pada siang hari atau waktu pejabat.”

“Kalau kos penyaluran mendadak (cost of Distribution) boleh dikurangkan, bermakna kos pengurusan tenaga pun boleh dikurangkan kerana kos ini merupakan salah satu faktor yang digunakan oleh TNB atau kerajaan dalam menentukan tarif elektrik semasa,”

Pengenalan Polisi Mampan’, iaitu polisi ‘menang sama menang’ tersebut sekaligus mengubah paradigma rakyat dan kerajaan dalam menggunakan sumber tenaga elektrik dan tenaga yang diperbaharui.

“Sekarang, penggunaan solar sudah menjadi suatu status di kalangan rakyat pertengahan, kerana rakyat mampu menggunakan (tenaga solar) kerana kerajaan sendiri mengiktiraf mereka dan memang kerajaan berjaya mengubah paradigme mereka dengan pengiktirafan itu,”

Membandingkan dengan kerajaan Jerman, saya menganggap kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai kreativiti dalam menangani masalah bahan bakar dunia yang kian meningkat, malah kerajaan juga gagal merancang polisi penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti di semua negara dalam Kesatuan Eropah (EU).

“Kalau di negara-negara EU, memang kerajaannya mensasarkan 25 hingga 45 peratus penggunaan tenaga domestik pada tahun 2020 kelak mesti dari sumber tenaga yang diperbaharui, kita hanya ada Wawasan 2020 saja sebab kerajaan kita tidak kreatif dan TNB kita juga mungkin tidak kreatif,”

Di mana Bio-Diesel kerajaan?

“Dulu kerajaan bising dengan projek bio diesel sebagai tenaga alternatif, apabila bahan bakar dunia meningkat, di mana projek-projek ini untuk membantu TNB menguruskan sumber tenaga domestik,”

Saya akui bahawa kerajaan dan TNB terpaksa menanggung subsidi disebabkan harga arang batu sedunia yang kian meningkat,saya turut mencadangkan kerajaan menjana tenaga ‘bio ethanol menggunakan bahan buangan domestik.

“Kerajaan selalu kata mereka perlu beri subsidi lebih untuk arang batu dalam (mata wang) USD sedangkan mereka menanggu kos akhir yang lebih kerana rakyat membayar tarif elektri menggunakan mata wang RM (Ringgit Malaysia),”

“Tapi, kalau kerajaan guna tenaga bio ethanol, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan hampas kelapa sawit, adakah perlu menggunakan USD lagi sedangkan ia boleh diperoleh di Malaysia sendiri.”

Kerajaan seharusnya menggunakan bio ethanol bagi menggantikan bio diesel kerana sumber tenaga yang diperbaharui itu boleh dijana menggunakan bahan buangan, sedangkan bio diesel adalah sebaliknya.

Saya juga meminta kerajaan menjalinkan hubungan dengan Mitsui Corp., iaitu syarikat janakuasa dari Jepun yang sekarang ini sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama Sime Darby Berhad, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menghasilkan Bio Ethanol menggunakan hampas kelapa sawit.

Kos Perbelanjaan

Bercakap tentang kos perbelanjaan (cost of financing) yang juga merupakan salah satu faktor dalam menentukan tarif elektrik semasa, saya turut mempersoal tindakan kerajaan memberi konsesi jana kuasa kepada Kumpulan YTL milik Tan Sri Francis Yeoh.

“Kenapa mesti beri konsesi janakuasa elektrik kepada Francis Yeoh dan janakuasa itu tiba-tiba dibina di Kerteh (Terengganu) sedangkan keperluan sumber tenaga terbanyak sebenarnya lebih diperlukan di Pantai Barat Semenanjung,”

“Adakah kedudukan janakuasa di Kerteh itu supaya memudahkan YTL mendapatkan sumber gas yang telah pun kerajaan subsidikan untuk YTL bagi menjana tenaga elektrik domestik.”

Demi meletakkan pusat janakuasa tersebut di Kerteh, saya juga turut memaklumkan bahawa kerajaan era 1980an dahulu telah pun memberikan RM800 juta wang rakyat kepada MRCB untuk menyalurkan sumber tenaga ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“Lebih kurang RM800 juta digunakan secara membazir untuk memberi subsidi kepada YTL, sedangkan kerajaan hari ini berniat meningkatkan tarif elektrik dan menarik beberapa subsidi yang nyata membebankan rakyat,”

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan niat kerajaan dan TNB sebelum ini untuk membangunkan sumber tenaga yang diperbaharui dengan menggunakan nuklear.

“Baru-baru ini, kerajaan kata nak guna nuklear pula menggantikan arang batu, adakah kerana kos pembinaan prasarana yang begitu besar, lebih kurang RM4 bilion menyebabkan kerajaan dan pihak tertentu begitu berminat untuk menghabiskan wang rakyat,”

Tenaga Berteknologi Baru

Sekiranya kerajaan jujur mahu membangunkan tenaga alternatif berteknologi baru, saya juga ingin mencadangkan kerajaan supaya meneroka sumber tenaga hasil teknologi geothermal.

“Kalau kita guna nuklear yang ditanam dalam bumi, 20 tahun akan datang pun belum tentu akan hilang kesan radiaksi.”

“Kalau guna teknik geothermal iaitu tenaga dihasilkan dengan air yang diwapkan di perut bumi, ia lebih selamat untuk manusia,”

Kerajaan atau TNB juga boleh menjana tenaga ‘gassification’, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan tinja manusia sekiranya kerajaan kreatif.

“Kalau (kerajaan) kreatif tahi pun boleh diperbaharui, tak perlu naik tarif elektrik.”

Malu Itu Ada 10 Macam

Rasa malu itu ada 10 macam :

Pertama ; Rasa malu kerana berbuat salah, seperti rasa malu Nabi Adam ‘alaihissalam yang melarikan diri dari Allah SWT saat di syurga. Ketika Allah SWT bertanya , “Mengapa kamu melarikan dirimu dariKu wahai Adam?” Adam menjawab, “Tidak wahai Tuhanku, melainkan kerana rasa malu terhadap engkau”.



Kedua ; Rasa malu kerana keterbatasan diri (kelemahan dan rasa serba tidak sempurna), seperti rasa malu para malaikat yang membuatkan mereka senantiasa bertasbih kepada Allah SWT siang dan malam bahkan tanpa sesaat pun tanpa tasbih, namun demikian pada hari kiamat kelak mereka berkata, “Mahasuci Engkau ya Allah, kami belum dapat menyembahMu dengan sebenar-benar penyembahan.”



Ketiga ; Rasa malu kerana pengagungan atau dikenali juga sebagai rasa malu kerana memiliki makrifah kepada Allah (mengenal Allah lalu mengagungkanNya). Ketahuilah wahai sahabat sekalian bahawasanya sejauh mana makrifah seseorang hamba terhadap Tuhannya maka sejauh itu pula rasa malunya terhadap Allah SWT.



Keempat ; Rasa malu kerana kehalusan budi seperti rasa malu Rasulullah SAW saat mengundang orang ramai pada acara walimah Saidatuna Zainab ra.Kerana mereka tidak segera pulang, Baginda bangkit dari duduknya dan merasa malu untuk mengatakan kepada mereka, “Pulanglah kalian”.



Kelima ; Rasa malu kerana menjaga kesopanan , seperti rasa malu Ali ibn Abi Thalib ketika hendak meminta baju besi kepada Rasulullah SAW kerana dia adalah suami kepada Puteri Rasulullah SAW.
bersambung.....

Ustaz Yussaine Yahya

Thursday, February 25, 2010

Mengabang, bentuk mukabumi unik Terengganu


Masyarakat Terengganu sudah maklum tentang kewujudan tempat yang bermula dengan 'mengabang' seperti nama Mengabang Telipot, Mengabang Lekor, Mengabang Tengah, Ladang Mengabang dan juga Mengabang Telong. Banyak istilah kampung dan tempat yang bermula dengan istilah ini.

Namun ramaikah antara kita yang mengetahui apa makna mengabang itu? Hamba telah ditanya dengan soalan ini dengan sahabat hamba sehingga menyebabkan hamba tergerak hati untuk bertemu dengan masyarakat asli Terengganu untuk bertanyakan hal berkenaan.

Mengikut beberapa sumber, mengabang merujuk kepada kawasan di mana letaknya tanah di antara sungai dan laut yang mengalir selari antara satu sama lain. Kawasan ini merujuk kepada hilir sungai di mana sungai berkenaan mengalir selari dengan gigi pantai sebelum bertemu di muka kuala. Bentuk muka bumi berkenaan agak biasa dilihat di negeri Terengganu di mana terdapat beberapa sungai yang mempunyai ciri-ciri berkenaan.


Jadi, itulah mengabang, istilah yang mewarnai masyarakat Darul Iman...


http://a3manulna3m.blogspot.com/

To’ Kong Kampung Cina Terbakar



- Wahid Pimpinan Islam Paling Awal Hadir

KUALA TERENGGANU – Sebahagian To’Kong, Tien Hou Kong, yang terletak di Kampung Cina disini telah terbakar kira-kira jam 8.45 malam, semalam 22 Februari.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, adalah pemimpin Islam yang paling awal hadir setelah mendapat berita mengenai tragedi tersebut.
”Saya dimaklumkan lebih kurang pukul 9, ada satu kebakaran (di To’kong Kampung Cina), saya berkejar (dari satu majlis) kita ada program tadi,

”bila dimaklumkan (oleh pihak Bomba) mereka datang untuk menyelamatkan tapi tak dapat berbuat apa-apa kerana pintu (To’kong) berkunci,”kata beliau ketika ditemui media selepas masuk ke dalam To’kong dan mendengar laporan awal dari pihak Bomba.

Menurutnya, beliau diberitahu, penjaga To’kong yang memegang kunci tersebut keluar untuk makan malam,

Sehubungan itu beliau berkata, punca kebakaran masih belum diketahui kerana ia masih disiasat.

Namun, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu yakin, tidak ada unsur khianat yang menyebabkan berlakunya kebakaran tersebut.

”Jadi, punca sebenar masih belum diketahui, yang saya bimbangnya, takut ada unsur khianat, tapi tidak ada, pasal dia (polis dan bomba) check (periksa) di (bahagian) luar To’ Kong tidak ada (kesan unsur khianat),”jelasnya.

Oleh itu, beliau berkata kebakaran tersebut mungkin disebabkan oleh api pembakaran colok yang merebak dari luar, atau mungkin disebabkan oleh litar pintas.

”Mungkin dari situ (pembakaran colok) ia merebak secara senyap-senyap atau akibat litar pintas,”kata Wahid.

Justeru, beliau berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan menuduh pihak-pihak tertentu yang menyebabkan kebakaran tersebut.

To’kong Tien Hou Kong adalah dianggap bersejarah kerana ia dilaporkan telah dibina pada tahun 1896.

Ia juga dianggap bersejarah kerana mencatatkan sketsa yang menyedihkan, dimana beberapa orang Melayu ‘berselepoh’ menadah tangan dihadapannya.

ehsan buletinonline.

Thursday, February 4, 2010

Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, JANGAN menyusahkan jamaah.


Oleh : Dato' Ustaz Tuan Ibrahim b. Tuan Man

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil' terutama bila mana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bila mana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markas PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya menghubunginya di luar negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bila mana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato' Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: "Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak." Saya menjawab : " InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini." Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan -cawangan yang telah membuat jemputan, tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: "Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?" Beliau menjawab: "Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!" Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada panglima baru bila mana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikut kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say', dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.


Wassalam.


Sumber : http://tuanibrahim.blogspot.com/

ATM: Kes Enjin Belum Selesai, Kini Kes Maklumat Bocor Pula


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi Pertahanan Negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan dihati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat. Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh.

Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera. PAS yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi Kerajaan dan Pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

PAS berharap agar agensi Keselamatan Negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara.

Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dinegara maju seperti Jepun pasti akan meletakan jawatan jika perkara sebegini berlaku, adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka.

PAS mahu Kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat