Monday, November 28, 2011

Abu Seman Bongkar Rahsia PATI?

Share

"Pengurusan pelarian Filipina di Sabah adalah di bawah tanggungjawab Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Sabah, Labuan iaitu di bawah agensi Majlis Keselamatan Negara di mana ia adalah di bawah JPN".

Datuk Wira Abu Seman Yusof

Oleh : MUTALIB M.D

JAWAPAN Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh 33 Ahli Parlimen Malaysia yang mengambil bahagian membahaskan isu-isu berkaitan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pada 23 November 2011, adalah jawapan tersirat yang ditunggu-tunggu rakyat Sabah selama ini.

Dalam jawapannya, Abu Seman mendedahkan bahawa bajet rumah transit pelarian Filipina di Sabah dan juga Labuan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Malaysia (Labuan) terletak di bawah Majlis Keselamatan Negara dan bukannya di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Sehubungan dengan perkara ini, pengurusan pelarian Filipina di Sabah adalah di bawah tanggungjawab Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Sabah, Labuan iaitu di bawah agensi Majlis Keselamatan Negara di mana ia adalah di bawah JPN. Jadi, oleh kerana ia bukan di bawah KDN, maka saya tidak boleh dapat memberi maklumat berkaitan dengan perkara ini,” kata Abu Seman yang menjawab rungutan rakyat Sabah, tetapi disembunyikan selama ini.

Jawapan Abu Seman ini menunjukkan bahawa selain daripada KDN, JPN berkuasa penuh ke atas ’Pelarian’ di Sabah, termasuk memberikan MyPR kepada semua pemegang IMM-13 di Sabah dan Labuan.

Dalam jawapannya, Abu Seman turut menyentuh kriteria prosedur pemberian kewarganegaraan kepada warga asing di bawah peruntukan Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan.

”Dari jumlah yang dinyatakan, pemberian kewarganegaraan di bawah Perkara 16, adalah berjumlah 428,144 orang sehingga 15 Oktober 2011. Pemberian taraf kewarganegaraan adalah berdasarkan kepada syarat prosedur dan kelayakan yang telah ditetapkan di Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan,” kata Abu Seman.

Jawapan bersahaja ini membuka ruang minda rakyat Sabah berhubung misteri OPS Gambeling yang merekrut seramai 322,903 orang warga asing Indonesia, Filipina, India dan Pakistan telah diberikan KAD PENGENALAN PROJEK melalui peruntukan nombor kad pengenalan biru:

H 0288001 hingga H0384000

H 0480001 hingga H0576000

H 0609601 hingga H0610000

H 0658001 hingga H0658200

H 0658401 hingga H0659000

H 0666001 hingga H0666400

Bagaimanapun jawapan Abu Seman disanggah oleh Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian) Sallahuddin Haji Ayub kerana sebelum ini KDN memberikan jawapan sehingga Ogos 2011, terdapat 1,365,027 orang yang diberikan kerakyatan Malaysia.

Abu Seman hanya berdalih dengan mengatakan maklumat yang beliau ada sehingga 15 Oktober 2011 dan akan memaklumkan secara bertulis berhubung fakta sebenar. Sila ikuti perbahasan Dewan Rakyat dengan Klik ABU SEMAN.

Berapakah jumlah sebenar warga asing yang diberi kerakyatan Malaysia bergantung kepada ’Cerita 1001 Malam’ yang akan digubah KDN kerana hanya mereka ada rekod isteri, adik beradik, anak cucu cicit PATI yang diberi kerakyatan songsang sejak 1970-an hingga 1994, menjelang plot menumpaskan Parti Bersatu Sabah (PBS) melalui pengundi hantu!

Tetapi ’Kerakyatan Songsang’ ini boleh dimasukkan ke dalam Guinness World Record kerana tidak ada seorangpun kaum Cina atau India yang memegang kad pengenalan yang bernombor siri di atas, seolah-olah ketika itu tidak ada kaum Cina atau India yang boleh memiliki nombor keramat yang dikhususkan untuk PATI yang memborong semua Kod 12.

Oleh itu tidak keterlaluan jika Mantan Ketua Menteri Sabah berkata;

”KERAJAAN PERSEKUTUAN boleh mendaftar mana-mana pendatang asing dalam masa tiga minit, tiga jam, tiga bulan atau tiga tahun. TIDAK ADA undang-undang yang menetapkan tempoh dan jika Kerajaan Persekutuan ingin mengubah corak mengundi di Sabah untuk selamanya, maka ia boleh dilakukan semudah menandatangani dokumen.”

No comments:

Post a Comment