Thursday, June 30, 2011

TANJUNG PAGAR - KHAZANAH NEGARA TERUS TERGADAI

29 Rejab 1432 H | 30 Jun 2011

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya di Johor perlu menentukan sikap dalam memilih pemimpin pada masa akan datang, dengan menjadikan isu kehilangan Tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Singapura sebagai pengajaran.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, tanah tersebut merupakan warisan terakhir milik Malaysia yang gagal dipertahankan di bawah era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tak tahu apa apakah kita akan kehilangan lagi perkara-perkara berkaitan pertindihan yang masih tidak selesai. Ia tak
boleh dipertahan,” katanya kepada Keadilandaily.

Beliau memberikan reaksi kepada kehilangan tanah seluas 200 hektar atau 494 ekar termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar mulai 1 Julai 2011.
Stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke tempat pemeriksaan kereta api Woodlands (WTCP).

Menurut Salahuddin, tanah KTMB tidak sepatutnya hilang kerana ia melambangkan kedaulatan negara ini, yang sebelum ini terlepas Pulau Batu Puteh kepada republik negara itu.
“Sekarang, kita tak punya lagi warisan yang memberi erti yang besar dalam konsteks warisan negara.
“Seharusnya jika rundingan dibuat, pertimbangan tidak boleh merugikan negara, atau sekurang-kurang dalam keadaan ‘win-win situation‘,” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, masih banyak isu dan pertikaian yang tidak dapat diselesaikan kerajaan seperti isu air, pencerobohan ruang udara Malaysia, Tabung Perkerja Malaysia di Singapura (CPF) dan sebagainya.


“Kini kita kehilangan satu tanah warisan dan hak kedaulatan. Saya kesal dengan kehilangan itu. Dah sampai masanya rakyat untuk melihat sikap Barisan Nasional,” kata Salahuddin yang merupakan anak jati Johor.


Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat melalui paparan di laman sosial Facebook memaklumkan satu acara ‘Tangisan Tanjung Pagar’ dilakukan di stesen keretapi Johor Bahru jam 6 petang tadi.


Mereka memakai baju putih dan seluar gelap sebagai tanda simbolik kehilangan tanah milik KTMB.

Bersih 2.0 - Angkara Bising

Friday, April 1, 2011

Petani tembikai rugi besar




KAMPUNG TERAP, PECAH ROTAN – Seramai 35 peserta yang terlibat dengan penanaman tembikai di kampung Terap, Pecah Rotan mengalami kerugian hampir RM300,000 akibat kawasan tanaman tersebut ditenggelami air berikutan hujan beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohamad Majid berkata, tembikai yang ditanam melibatkan keluasan kira-kira 20 hektar yang dimulakan Januari lalu langsung tidak dapat dituai.

“Ini kejadian paling buruk sejak projek penanaman tembikai dimulakan 15 tahun lalu,” katanya.

Katanya, pada tahun lalu keadaan itu tidak berlaku walaupun hujan lebat berterusan. Ini sebab, limpahan air terus diserap ke dalam tanah, berbanding keadaan sekarang ia masih bertakung walaupun sudah beberapa hari hujan reda.

“Masalah ini dipercayai disebabkan pengurusan ladang kelapa sawit berdekatan yang menggali parit menghala ke kampung kami.

“Jika perkara ini dapat dibincangkan antara penduduk dan pengurusan ladang, insya-Allah masalah ini akan dapat diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hasil tembikai yang sepatutnya boleh dikutip dalam seminggu hingga dua minggu ini memang langsung tidak boleh dijual kepada pemborong kerana kualitinya sudah terjejas.

Malah katanya, jika peserta menawarkan harga yang murah sekali pun kepada pemborong, mungkin mereka agak keberatan membelinya kerana buah telah rosak.

“Saya bagaikan hilang arah dengan kerugian yang dialami sekali gus kerana 85 peratus peserta yang menanam tembikai bergantung sepenuhnya kepada penjualan hasil tanaman ini.

“Bagi memastikan penanaman kali kedua dilakukan, peserta perlu mencabut semua anak pokok yang ditanam untuk proses penanaman semula yang dijangka dilakukan pada bulan ini atau Mei nanti,” katanya.

Mohamad berkata, bagi mengembalikan semangat peserta penanaman tembikai, diharap agensi yang terlibat dengan pertanian dapat membantu menghulurkan sumbangan sekurang-kurangnya anak benih atau bantuan am lain.

“Semasa penanaman awal Januari lalu, kebanyakan kos tanaman dikeluarkan sendiri petani dan kali ini kami berharap pihak berkenaan dapat memberi subsidi bagi membantu meringankan beban,” katanya.

SH

TAZKIRAH SUBUH : UNTUKMU, UMAT MUHAMMAD S.A.W

"Selagi kita berpegang kepada Al Quran dan sunnah,
kita akan selamat di dunia dan akhirat..."
26 Rabi'ul Akhir 1432 H | 31 Mac 2011
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Umatku ini adalah umat yang dirahmati (dikasihani). Tidak ada azab bagi mereka di akhirat. Azabnya adalah di dunia, berupa fitnah-fitnah, gempa bumi, musibah-musibah, dan pembunuhan.” (Riwayat Thabrani melali Abu Musa r.a)

Umat Muhammad adalah yang dirahmat iaitu dikasihani Allah s.w.t. Mereka tidak dikenakan azab di akhirat nanti kerana mereka telah dikenakan azab di dunia. Namun umat yang dikasihani ini adalah umat yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulnya, yang menjadikan Al-Quran dan sunnah itu sebagai panduan dan pegangan kehidupan seharian, baik dari segi ekonomi, politik, kemasyarakatan dan segalanya.
Walaubagaimanapun, mereka yang melupakan ajaran dan perintah agama Islam akan di azab. Apa erti di lidah mereka mengucapkan mereka umat Nabi sedangkan dalam kehidupan seharian mereka jauh menyimpang dari ajaran baginda.

Dalam sebuah hadith diceritakan apabila Rasulullah melihat ramai umatnya di neraka, Baginda bertanya mengapa berlaku demikian dan Allah s.w.t. menjawab “Mereka melupakanmu”.

Jika diimbas kembali satu persatu azab sebagaimana hadis Nabi di atas, dan apa yang berlaku kini, ianya telah dan sedang berlaku:
Tsunami tanda kekuasaan Allah, mengapa manusia
masih lalai mengambil iktibar darinya?
  1. Fitnah - manusia sudah tidak memikirkan lagi kesan perbuatan asalkan matlamat mereka dapat dicapai, sehinggakan mereka yang membawa fitnah ini dilindungi dan diangkat menjadi wira. Sedangkan yang difitnah menerima aib

  2. Gempa bumi - lihat sahaja rentetan kejadian gempa bumi di Jepun dan Myanmar, yang mengakibatkan kemusnahan maha dahsyat. Dan itulah kekuasaan Allah yang perlu menjadi muhasabah kepada kita yang semakin melupai perintah Allah

  3. Musibah - pelbagai kejadian yang berlaku; tsunami yang memusnahkan dan merubah landskap dunia, wabak penyakit yang mengorbankan ribuan nyawa dan para pakar buntu mencari penawar, perubahan cuaca yang menjejaskan kehidupan manusia sehinga berlaku pelbagai kejadian di luar pemikiran manusia

  4. Pembunuhan - seringkali terpapar kejadian pembunuhan di merata tempat seolah nyawa manusia kini tidak lagi berharga, dan sifat belas kasihan sesama manusia semakin hilang. Dan bagaimana zalimnya tindakan Muammar Gadhafi yang membekalkan senjata kepada penyokongnya untuk membunuh golongan penentang
Namun begitu masih belum terlambat untuk kita yang mengaku sebagai umat Muhammad s.a.w ini kembali semula kepada syariat sebenar. Allah Maha Pengampun, dan setiap detik Allah sentiasa menanti taubat dari hamba-Nya.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Khutbah : Perangi Fitnah

[sambungan dari artikel sebelum yang bertajuk "Fitnah : Senjata Tertua di Dunia"]

Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian.

1. Fitnah adalah perbuatan keji yang sangat dicela oleh syara' justeru kesan radiasi fitnah jauh lebih dahsyat dari membunuh. Allah swt telah menegaskan perkara ini di dalam firmanNya yang berbunyi : والفتنة أشد من القتل : bermaksud Fitnah itu lebih dahsyat [kesan dan akibatnya] dari membunuh. ~ surah al Baqarah Ayat 191 ~

2. Fitnah adalah angkara perlakuan manusia jahat yang suka mencetuskan kekacauan, pergolakan, permusuhan, pengkhianatan, dendam, huru hara dan 1001 kerosakan dikalangan masyarakat ummat manusia. Sedang Islam yang diturunkan oleh Allah swt adalah agama yang harmoni, memelihara kesejahteraan bermasyarakat dan melarang sekeras - kerasnya sebarang tindakan yang mencetus perpecahan dan permusuhan seperti fitnah, tohmah dan khianah.

3. Firman Allah swt :

إن الذين فتنوا المؤمنين و المؤمنات ثم لم يتوبوا فلهم عذاب جهنم و لهم عذاب الحريق

Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah [untuk memesong dan memporak - perandakan] orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).

Surah Al Buruj. Ayat : 10

4. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, bahawa fitnah adalah perbuatan yang dicetuskan oleh manusia fujur [jahat] yang dipengaruhi pemikiran dan jiwanya oleh syaithan durjana.

5. Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi saw. Firman Allah swt :

ولقد ابتغوا الفتنة من قبل و قلبوا لك الأمور حتى جاء الحق و ظهر أمر الله و هم كارهون

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu [wahai Muhammad] berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah [kemenangan] ugama Allah [Islam], sedang mereka benci kepadaNya.

Surah At Taubah. Ayat : 48

6. Sungguhpun demikian, akan pasti ada fitnah yang menjalar disetiap zaman dan tempat. Ianya dinyalakan dan ditiup agar ummat manusia bertelagah dan bermusuhan. Justeru itu, kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan api fitnah ini membakar kesejahteraan ummah dan membinasakan kebenaran yang diperjuangkan. Sungguhpun perit dan sengsara berdepan fitnah yang dihadapi, yakinlah bahawa Allah swt bersama dengan mereka yang memperjuangkan kebenaran. Firman Allah swt :

ثم إن ربك للذين هاجروا من بعد ما فتنوا ثم جاهدوا و صبروا إن ربك من بعدها لغفور رحيم

Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu [memberikan pertolongan] kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah [oleh kaum musyrik], kemudian mereka berjihad serta bersabar, Sesungguhnya Tuhanmu [sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan] adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah An Nahl. Ayat : 110

7. Melalui suara mimbar yang penuh dengan keberkatan ini, saya menyeru seluruh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt agar menghindarkan diri dari fitnah dan bangkit menentang sebarang usaha melakukan fitnah lantaran inilah yang diperintah oleh Allah swt :

و قاتلوهم حتى لا تكون فتنة و يكون الدين لله فإن انتهوا فلا عدوان إلا على الظالمين

dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah satu - satunya cara hidup [yang diamal] milik Allah [Islam], maka apabila ia telah berakhir maka tiada lagi permusuhan kecuali ke atas orang - orang yang zalim.

Surah al Baqarah. Ayat 193

8. Membiarkan fitnah berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang - orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah swt kita mohon perlindungan dari kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak. Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah swt di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar.

9. Nasihat saya jua kepada mereka yang berkuasa. Mereka yang memegang amanah untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat sebagai pemimpin yang diberi mandat agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Sekali - kali jangan membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan kemurkaan Allah swt.

10. Akhirnya marilah kita berdoa kepada Alllah swt agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah swt. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmad kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah swt.

Ustaz Nasrudin Tantawi

Thursday, May 20, 2010

Kerajaan kaji kerugian RM964 juta Sime Darby


Datuk Seri Najib Razak berkata Sime Darby Bhd perlu menentukan dahulu sebab ia mengalami kerugian RM964 juta sebelum menimbulkan isu kebertanggungjawaban. "Kita perlu menyiasat sebab berlakunya kerugian itu terlebih dahulu. Kita tidak boleh berbuat apa-apa mengenai kebertanggungjawaban pada masa ini," kata Perdana Menteri.

Najib mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa tanggung jawab terhadap kerugian di dalam Projek Bakun perlu dikongsi oleh semua pihak yang terbabit di dalam isu itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bangunan ibu pejabat baru Utusan Melayu di Kuala Lumpur hari ini. Semasa mengumumkan kerugian berkenaan pada minggu lalu, Sime Darby turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, untuk bercuti. Ia melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pemangku CEO Kumpulan sementara. - Bernama

Mahasiswa 21 tahun berhak berpolitik

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat.

Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.HRAKAH