Tuesday, January 12, 2010

ALMARHUM HAJI ISHAK BAHAROM



Dato’ Mufti Haji Ishak bin Baharom (1 Januari 1928 – 30 Januari 2008) merupakan bekas mufti negeri Selangor Darul Ehsan, dan juga merupakan seorang pendakwah bebas. Beliau telah dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jaafar, berketurunan Banjar, berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Beliau mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Datin Hajah Maznah bte Yusuf yang berasal dari Manong, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan ini mereka mendapat 3 orang anak.

Pendidikan awal

Dato Haji Ishak baharom bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 – 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai , Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Mufti

Beliau menjawat jawatan Mufti Selangor pada 16 Ogos 1985 dan disahkan oleh Sultan Selangor. Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Mufti Selangor pada 1985 ialah Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38 Sabak Bernam. Beliau menjawat jawatan mufti selama 12 tahun (1985-1997).

Beliau bekerjasama dengan para peguam syarie untuk memantapkan undang-undang Islam terutama undang-undang jenayah Islam di Selangor. Timbalan Presiden Persatuan Peguam-

Peguam Muslim Malaysia, Muhammad Burok melihat inisiatif beliau mendapat sambutan masyarakat Islam.

Pada 1997 berikutan penegasannya bahawa pertandingan ratu cantik adalah haram, Allayarham telah ‘dipecat’ daripada jawatan mufti kerana perkara tersebut menjadi isu politik. Kerajaan negeri Selangor menggunakan istilah ‘tidak memperbaharui kontrak’ beliau yang akan tamat pada Oktober 1997. Ketika itu umur beliau 70 tahun.

Tindakan tegas beliau ini disifatkan sebagai suara berani seorang mufti di Malaysia. Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menyifatkan beliau sukar dicari ganti.

Sungguhpun Allahyarham tidak lagi menjalankan tugasnya sebagai mufti, perjuangannya dalam menyampaikan syiar Islam tetap diteruskan sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

Pandangan

Pertandingan ratu cantik

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri Selangor mengenai fakwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah dua tahun diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)]. Media menyiarkan bantahan orang ramai terhadap tindakan menggari tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik itu, Pertandingan itu telah diadakan pada 13 Jun 1997 di di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dan pengumuman larangan orang Islam menyertai sukan bina badan oleh Mufti Sarawak. Ahmad Lutfi Othman telah mengupas isu ini dalam buku bertajuk “Mufti lawan Mahathir”.

Meninggal dunia

Pada 30 Januari 2008, Dato’ Haji Ishak, berumur 80 tahun, meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala pada jam 2.30 pagi di Hospital Sungai Buloh. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang . Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak sedarkan diri dan koma akibat pedarahan dalam kepala. Jenazah beliau dibawa ke rumah beliau di No 194 Jalan Tun Sambanthan Taman Sri Andalas Klang. Kemudian dikebumikan pada 31 Januari 2008 di kompleks Makam di Raja, Selangor.

Sunday, January 10, 2010

Tubuh Nadia digeledah di AS, kerana pakai jilbab

WASHINGTON, 9 Jan: Memakai jilbab mengakibatkan seorang gadis Muslimah digeledah seluruh tubuhnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Dulles, Washington Selasa lalu.

Layanan tidak profesional itu merupakan insiden terbaru sejak Amerika Syarikat dilanda Islamphobia, 9 September 2001 lalu.

Nadia yang ditemui pemberita menganggap tindakan para pegawai terbabit memalukannya.

"Peristiwa itu sangat memalukan dan membuatkan saya tidak selesa," dipetik dari suatu akhbar arus perdana Washington, Detroit News.

Menurut Nadia, segala barang peribadinya seperti beg pakaian, telifon bimbit serta komputer riba turut digeledah, disebabkan prasangka Islamophobia tersebut.

"Saya cuma berdiam (diri) kerana tidak mahu menimbulkan masalah.

"Tetapi, saya orang Amerika, bukan warga negara asing, mengapa negara saya memperlaku saya seperti ini," jelasnya.

Dilaporkan Pengarah Eksekutif Majlis Persaudaraan Amerika-Islam (CAIR) Nihad Awad turut menganggap insiden yang menimpa Nadia Hassan sebagai suatu diskriminasi terhadap Umat Islam di Amerika Syarikat.

"Banyak perempuan yang mengenakan pakaian longgar dan gaun pangjang, tetapi mereka tidak diperiksa sedemikian rupa, seperti yang dialami Nadia," jelasnya.

"Satu-satunya alasan untuk kes ini kerana Nadia seolah Muslim(ah)."

Dilaporkan Nihad Awad turut menulis suatu surat kekesalan kepada pengarah bahagian Pentadbiran Pengangkutan dan Keselamatan (TSA) Gale Rossides.

Dalam surat terbuka tersebut, beliau mempertikai cara TSA melayani Nadia Hassan disebabkan berprasangka pada Islam.

"Jika kebijaksanaan (profesionalisme) itu benar-benar diterapkan, apakah berlaku (penggeledahan tubuh badan) bagi semua yang memakai simbol keagamaan," dipetik dari surat Nihad Awad.

"...seperti penganut Sikh yang memakai serban yang khas, (begitu juga bagi) biarawati dan kaum agamawan Yahudi Ortodoks; atau (penggeledahan tubuh badan) ini hanya dikenakan pada Muslim sahaja."

Sehingga hari ini, dilaporkan pihak berwajib tidak memberi keadilan hak kepada Nadia Hassan.

Harakah daily

Thursday, January 7, 2010

Boleh ka Tak Boleh Berhimpun Nie...???

Jangan adakan perhimpunan: Musa
KUALA LUMPUR- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Anwar: Penyokong Pakatan tidak dilarang sertai demo
Para penyokong Pakatan Rakyat yang ingin menyertai demonstrasi membantah penggunaan nama Allah pada penerbitan Kristian tidak dilarang berbuat demikian, kata Datuk Seri Anwar...

Tidak boleh halang demo isu 'Allah': Najib
Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah', kata perdana menteri.

Isu 'Allah' terus marak dengan demo
Bantahan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' dalam mingguan Katholik terus marak dengan demonstrasi walaupun kerajaan menyeru semua pihak bertenang dan kes tersebut kini di peringkat rayuan.

Setelah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara Jumaat ini, sebuah lagi persatuan Islam berpengaruh, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

kedahlanie.

Fahami Agama Melalui Tokohnya


Kita perlu mendalami al-Quran dan al-hadis untuk menimba pelbagai ilmu yang terkandung di dalamnya. - Gambar hiasan


Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.

Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.

Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.

Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.

Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.

Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.

Terlalu liberal

Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.

Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.

Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.

Sebelum ini kita juga ada mendengar 'ayat-ayat' liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan 'ijtihad' mereka.

Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.

Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.

Nas lawan pandangan tokoh?

Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.

Apakah yang kita maksudkan dengan kecenderungan terlalu literal ini? Ia boleh dirujuk kepada sikap terlalu berpegang kepada maksud zahir atau literal nas-nas hukum tertentu sambil mengenepikan tafsiran dan takwilan (makna di sebalik yang zahir) ulama-ulama muktabar terhadap nas-nas tersebut.

Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.

Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.

Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.

Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An'am, ayat 57 yang bermaksud,

Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).

Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.

Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.

Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.

Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.

Memperlagakan

Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.

Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.

Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.

Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.

Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.

Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.

Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.

Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.

Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.

Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.

Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan.

Sumber : http://yayasansofa.com/

Wednesday, January 6, 2010

Sudah dua bulan tanpa perkembangan: Nizar


IPOH - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kedudukan jawatan itu yang sehingga kini belum ada sebarang jawapan.

Katanya, kes itu dibawa ke mahkamah bagi menentukan siapa layak menerajui kerajaan negeri selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) lompat parti dan menyertai Bebas.

“Sehingga kini, setelah lebih dua bulan berlalu, keputusan berhubung kedudukan menteri besar belum diputuskan. Saya akan tetap menunggu walaupun tidak tahu bila mahkamah akan memutuskannya.

“Pada saya, sehingga kini kes ini tiada sebarang perkembangan menunjukkan ia akan selesai, sebaliknya terus membisu tanpa sebarang keputusan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mohamad Nizar berkata, apabila hal sedemikian berlaku, beliau bimbang jika kes itu terus senyap akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap institusi kehakiman dan meninggalkan persoalan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kenapa berlaku sedemikian, sama ada secara kebetulan ataupun sengaja.

“Kalau ia disengajakan. bermakna persepsi masyarakat terhadap institusi kehakiman bertambah pudar, malah reputasi serta imej kehakiman akan terjejas. Tetapi, saya tidak pasti benar ke tidak, sebab itu saya mempersoalkan tindakan ini dan kenapa belum ada sebarang perkembangan.

“Ini juga secara tidak langsung boleh mewujudkan sikap prasangka dan kurang kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara. Bukan bermakna mempersoalkan tindakan mahkamah ini sebagai satu hentaman, tetapi mahukan penjelasan kenapa ia masih tertangguh,” katanya.

www.batuvskayu.blogspot.com

Amah Durjana Bakar Rumah Majikan, Larikan RM500


21 Muharram 1431

KUALA TERENGGANU: Tiada yang lebih memeranjatkan bagi Intan Zunaidah Abdul Wahab, 40, hari ini selain mendapati pembantu rumah yang disayangi umpama menatang minyak yang penuh rupanya remaja durjana sehingga sanggup membakar rumahnya.

Lebih teruk lagi dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu amah yang baru berusia berusia 14 tahun dari Palembang, Indonesia itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer dalam satu kejadian di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat sini pagi ini.

Bagaimanpun dia yang dikenali sebagai Dinda, berjaya ditahan oleh adik majikannya Zulkarnain Abd Wahab, 35, di Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) lebih sejam kemudian ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur.

Majikannya Intan berkata, beliau tidak menyangka pembantu rumah yang dilayan seperti anak sendiri itu sanggup berbuat demikian memandangkan sebelum ini hubungan mereka tidak pernah mempunyai masalah.

"Saya terkejut apabila dihubungi oleh suami pagi tadi mengatakan rumah teres kami terbakar dan perkara pertama yang saya lakukan ialah meminta mereka memecah pintu rumah kerana pembantu rumah kami berada di dalam.

"Bertambah terkejut apabila saya dimaklumkan dia tiada dalam rumah ketika jiran berjaya masuk ke dalam rumah untuk memadamkan kebakaran dan dipercayai telah melarikan diri setelah membakar rumah kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika kejadian, beliau berada di sekolah anak perempuan bongsunya yang berusia 13 tahun di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II untuk menghadiri program penyampaian hadiah kecemerlangan UPSR, manakala suaminya Mazli Mohamed, 49, berada di tempat kerja.

Menurut Intan Zunaidah, pembantu rumah itu pada asalnya diupah oleh rakan adiknya, namun disebabkan terlalu muda, dia telah diserahkan kepada Zulkarnain sebelum proses penghantaran semula ke Indonesia dilakukan oleh ejen.

"Semasa dua minggu duduk dengan adik saya, dia pernah buat hal dan cuba melarikan diri setelah mencuri wang tunai RM7,000 menyebabkan adik saya menyerahkannya kepada saya Disember lepas sebelum ejen mengambilnya.

"Sepanjang sebulan duduk dengan bersama, kami sekeluarga melayannya dengan baik, malah saya menganggapnya sebagai anak sendiri kerana umurnya tidak jauh beza daripada anak bongsu saya, malah mereka juga tidur bersama," katanya.

Katanya kejadian itu menyebabkan barang-barang dalam bilik tidur anaknya termasuk sijil persekolahan habis terbakar selain jelaga hitam yang memenuhi rumahnya.

"Paling saya sedih kerana dia sanggup mencuri wang anak bongsu yang dikumpul sejak darjah satu lagi hasil kecemerlangannya dalam pelajaran," katanya.

Pembantu pembantu rumah itu kemudian dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamal Md Tan berkata ketika sampai di tempat kejadian kirakira 10.52 pagi, kebakaran telah pun berjaya dipadamkan oleh orang awam.

"Tiga jentera kereta bomba bersama tiga pegawai dan 22 angota telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan sebaik tiba di tempat kejadian api telah berjaya dikawal dan kita hanya membantu memadamkan sisasisa bara.

"Kebakaran berpunca dari bilik tidur dan bahagian dapur yang dipercayai sengaja dilakukan dan jumlah kerugian dianggar bernilai RM115,000," katanya. - BERNAMA