KAMPUNG TERAP, PECAH ROTAN – Seramai 35 peserta yang terlibat dengan penanaman tembikai di kampung Terap, Pecah Rotan mengalami kerugian hampir RM300,000 akibat kawasan tanaman tersebut ditenggelami air berikutan hujan beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohamad Majid berkata, tembikai yang ditanam melibatkan keluasan kira-kira 20 hektar yang dimulakan Januari lalu langsung tidak dapat dituai.
“Ini kejadian paling buruk sejak projek penanaman tembikai dimulakan 15 tahun lalu,” katanya.
Katanya, pada tahun lalu keadaan itu tidak berlaku walaupun hujan lebat berterusan. Ini sebab, limpahan air terus diserap ke dalam tanah, berbanding keadaan sekarang ia masih bertakung walaupun sudah beberapa hari hujan reda.
“Masalah ini dipercayai disebabkan pengurusan ladang kelapa sawit berdekatan yang menggali parit menghala ke kampung kami.
“Jika perkara ini dapat dibincangkan antara penduduk dan pengurusan ladang, insya-Allah masalah ini akan dapat diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, hasil tembikai yang sepatutnya boleh dikutip dalam seminggu hingga dua minggu ini memang langsung tidak boleh dijual kepada pemborong kerana kualitinya sudah terjejas.
Malah katanya, jika peserta menawarkan harga yang murah sekali pun kepada pemborong, mungkin mereka agak keberatan membelinya kerana buah telah rosak.
“Saya bagaikan hilang arah dengan kerugian yang dialami sekali gus kerana 85 peratus peserta yang menanam tembikai bergantung sepenuhnya kepada penjualan hasil tanaman ini.
“Bagi memastikan penanaman kali kedua dilakukan, peserta perlu mencabut semua anak pokok yang ditanam untuk proses penanaman semula yang dijangka dilakukan pada bulan ini atau Mei nanti,” katanya.
Mohamad berkata, bagi mengembalikan semangat peserta penanaman tembikai, diharap agensi yang terlibat dengan pertanian dapat membantu menghulurkan sumbangan sekurang-kurangnya anak benih atau bantuan am lain.
“Semasa penanaman awal Januari lalu, kebanyakan kos tanaman dikeluarkan sendiri petani dan kali ini kami berharap pihak berkenaan dapat memberi subsidi bagi membantu meringankan beban,” katanya.
SH
No comments:
Post a Comment