Tuesday, January 12, 2010

ALMARHUM HAJI ISHAK BAHAROM



Dato’ Mufti Haji Ishak bin Baharom (1 Januari 1928 – 30 Januari 2008) merupakan bekas mufti negeri Selangor Darul Ehsan, dan juga merupakan seorang pendakwah bebas. Beliau telah dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jaafar, berketurunan Banjar, berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Beliau mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Datin Hajah Maznah bte Yusuf yang berasal dari Manong, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan ini mereka mendapat 3 orang anak.

Pendidikan awal

Dato Haji Ishak baharom bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 – 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai , Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Mufti

Beliau menjawat jawatan Mufti Selangor pada 16 Ogos 1985 dan disahkan oleh Sultan Selangor. Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Mufti Selangor pada 1985 ialah Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38 Sabak Bernam. Beliau menjawat jawatan mufti selama 12 tahun (1985-1997).

Beliau bekerjasama dengan para peguam syarie untuk memantapkan undang-undang Islam terutama undang-undang jenayah Islam di Selangor. Timbalan Presiden Persatuan Peguam-

Peguam Muslim Malaysia, Muhammad Burok melihat inisiatif beliau mendapat sambutan masyarakat Islam.

Pada 1997 berikutan penegasannya bahawa pertandingan ratu cantik adalah haram, Allayarham telah ‘dipecat’ daripada jawatan mufti kerana perkara tersebut menjadi isu politik. Kerajaan negeri Selangor menggunakan istilah ‘tidak memperbaharui kontrak’ beliau yang akan tamat pada Oktober 1997. Ketika itu umur beliau 70 tahun.

Tindakan tegas beliau ini disifatkan sebagai suara berani seorang mufti di Malaysia. Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menyifatkan beliau sukar dicari ganti.

Sungguhpun Allahyarham tidak lagi menjalankan tugasnya sebagai mufti, perjuangannya dalam menyampaikan syiar Islam tetap diteruskan sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

Pandangan

Pertandingan ratu cantik

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri Selangor mengenai fakwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah dua tahun diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)]. Media menyiarkan bantahan orang ramai terhadap tindakan menggari tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik itu, Pertandingan itu telah diadakan pada 13 Jun 1997 di di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dan pengumuman larangan orang Islam menyertai sukan bina badan oleh Mufti Sarawak. Ahmad Lutfi Othman telah mengupas isu ini dalam buku bertajuk “Mufti lawan Mahathir”.

Meninggal dunia

Pada 30 Januari 2008, Dato’ Haji Ishak, berumur 80 tahun, meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala pada jam 2.30 pagi di Hospital Sungai Buloh. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang . Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak sedarkan diri dan koma akibat pedarahan dalam kepala. Jenazah beliau dibawa ke rumah beliau di No 194 Jalan Tun Sambanthan Taman Sri Andalas Klang. Kemudian dikebumikan pada 31 Januari 2008 di kompleks Makam di Raja, Selangor.

No comments:

Post a Comment