Tuesday, January 5, 2010

Enjin jet: 2 termasuk sarjan TUDM didakwa hari ini

Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat sarjan bersama seorang pengarah syarikat didakwa hari ini berhubung kes kehilangan dua enjin jet pemintas F-5E TUDM yang mengejutkan negara baru-baru ini.

Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini.

Ini pendakwaan pertama berhubung kes kehilangan enjin F-5E itu yang hilang pada 2007 membabitkan nilai hampir RM100 juta.

Sarjan TUDM itu akan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan curi dalam bangunan dan menolong menghapuskan barang curi.

Pengarah berusia 36 tahun yang terlibat dengan industri penerbangan pula didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan mengenai pendakwaan mereka.


"Siasatan menunjukkan kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 Kuala Lumpur hasil persubahatan anggota tentera berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin itu yang diketahuinya harta curi," kata beliau.


Kelmarin beliau memaklumkan polis telah melengkapkan siasatan kes itu dan beliau berpuas hati dengan hasilnya yang mendapati tiada pegawai tinggi tentera terlibat.

Lokasi terakhir enjin pesawat itu dikesan adalah di Uruguay.

Dua enjin F-5E berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara manakala enjin kedua sebaik meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara.

Ia dipercayai dijual sebagai komponen alat ganti kepada sindiket antarabangsa di luar negara.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin bernilai RM100 juta itu hanya disedari pada 2008.

No comments:

Post a Comment